Photobucket

Wednesday, 4 May 2011

Bagaimana Meringankan Beban Orang Yang Bersedih?

Kehilangan orang yang disayangi adalah satu episod yang begitu sukar ditempuhi dan kesedihan serta sengsara yang dialami mungkin mengambil masa yang lama untuk 'berlalu'.

Dengan kehilangan itu menyusul pula cetusan pelbagai rasa dan emosi antaranya perasaan tergamam, marah dan rasa bersalah. Biasanya hidup seseorang dalam situasi ini akan menjadi gelap dan bertukar 'kosong'.

Beliau selalunya seolah-olah hilang punca, tercari-cari dan tidak pasti tentang apa yang telah dan akan berlaku. Dan bila kita menemui individu yang tenggelam dalam kemelut sebegini, kita tidak pasti dan takut untuk meluahkan apa yang dirasa kerana khuatir percakapan itu akan mengguriskan lagi perasaan dan mengeruhkan lagi keadaan.

Banyak kali, kita rasa seolah kita tidak boleh melakukan apa-apa bagi meringankan beban yang digalas oleh individu yang kehilangan insan dikasihi.Menurut Helpguide.org, jika kita gagal menghilangkan atau meredakan duka yang dihadapi mereka yang 'berduka' itu, sekurang-kurangnya kita boleh memberi ketenangan serta sokongan. Anda boleh bermula dengan memberitahu individu itu, agar dia tahu bahawa anda memang mengambil berat tentang dirinya.


Orang Lain, Lain Dukanya

Setiap perasaan duka yang dialami oleh seseorang adalah lain daripada apa yang dirasai individu lain. Ertinya bagi orang lain, lainlah kesedihannya. Menurut pensyarah kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Mejar (B) Dr Yahya Don, duka dan lara seseorang kehilangan yang dikasihi bergantung kepada beberapa faktor seperti personaliti, pengalaman hidup serta kepercayaan (agama).


"Luka dari kesedihan mengambil masa yang lama (untuk pulih). Sembuh dari kesedihan berlaku secara perlahan dan mengambil masa. Proses ini tidak boleh dipaksa atau dipercepatkan dan tiada jadual atau jangkamasa bagi sembuh dari kesedihan", beliau memberitahu Bernama.

Menurut Dr Yahya ada individu yang boleh pulih hanya dalam beberapa minggu atau bulan dan ada juga mereka yang mengambil masa selama bertahun-tahun. Katanya lagi mereka yang cuba membantu seharusnya bersabar dan membenarkan
mereka yang dibantu itu 'sembuh ' dan pulih dengan sendiri.

"Seseorang yang sedang berduka tidak sepatutnya dihalang dari menangis kerana bila individu itu sedang melalui satu tempoh yang sukar, perkara yang terbaik bagi mereka yang ingin membantu adalah membiarkan kesedihan itu berlalu dengan sendirinya", kata beliau.

Dr Yahya juga menasihati mereka yang ingin membantu agar mengelak dari cuba 'membetulkan' keadaan. Katanya percakapan seperti "ianya sudah ditentukan (sebegini) atau "ramai orang telah melaluinya" seharusnya dihindarkan. Menurut pakar terapi Pamela Jerry, percakapan seperti "dah lah tu", "semua orang akan melaluinya" atau "fikirkan tentang orang lain yang menerima nasib lebih buruk" adalah sama sekali perlu dielakkan.

Percakapan sebegini akan membuatkan seseorang yang berduka itu menjadi lebih sedih. "Saya fikir tidak bijak bagi kita memberi anggaran tentang kesedihan yang berlaku kerana kesedihan adalah berlainan dari satu individu ke individu yang
lain.

"Anggap anda mempunyai nasib yang sama dan dengar apa yang mereka ingin luahkan. Biarkan dia tahu bahawa dia bukan keseorangan dan anda ada bersamanya untuk berkongsi apa yang dia rasakan".

Tidak Perlu Cakap Apa-Apa

Menurut satu artikel yang ditulis Vivian Nelson Melle, ungkapan 'membisu seribu bahasa' sememangnya benar dan ini memang tepat kerana seseorang yang kehilangan yang dikasihi akan dibanjiri dengan banyak memori bermain di fikirannya.

"Perkara terakhir yang mereka mahu ialah 'bercakap' tentang episod itu. Hanya bila seseorang yang berduka bersedia (untuk bercakap), barulah mereka mula bercakap tentang apa yang mereka alami. Sehingga tibanya masa itu, menyepi adalah lebih baik," kata beliau.

Bagaimanapun Dr Yahya mempunyai pendapat yang berlainan. Katanya, ramai orang yang menjauhi individu yang bersedih disebabkan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya perlu dicakapkan dan perkara yang paling buruk boleh dilakukan adalah dengan 'membisu'.

Menurut pensyarah itu, orang takut meluahkan percakapan yang salah yang boleh memburukkan lagi keadaan. Oleh itu interaksi yang sebaiknya adalah dengan mengucapkan "Saya tidak pasti tentang apa yang awak rasa atau perlu, tetapi saya ada di sini untuk membantu. Beritahu saya apa yang awak perlukan".

"Berkongsilah tentang pengalaman yang pernah dilalui dan bagaimana anda menyelesaikan episod itu. Hindarkan daripada memberitahu apa yang dia rasa dan menyuruh dia berhenti bersedih. Itulah dua perkara yang perlu dielak", kata Dr Yahya.

Membantu Urusan Harian

Menurut Dr Yahya lagi, seorang yang berduka akan kelihatan seolah-olah tidak bermaya dan tiada motivasi baginya untuk berbuat apa-apa. Oleh itu mereka yang ingin membantu boleh menawarkan pertolongan bagi menjalankan kerja harian seperti membasuh pinggan serta pakaian yang kotor.

Bagi Dr Yahya, mereka yang kehilangan orang yang dikasihi akan melalui empat fasa kesedihan - penafian, kemarahan, kemurungan dan akhirnya penerimaan. "Janganlah cuba menenangkan dengan mengatakan 'luka itu boleh sembuh dengan masa' sebaliknya dengarlah apa keluhannya dan nyatakan yang anda faham dan ingin berkongsi duka itu.

Sumber Bernama

No comments: