Photobucket

Wednesday, 29 June 2011

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ..27 REJAB 1432H

Israk & Mikraj

Iktibar disebalik Israk Mikraj

Bulan Rejab kini sudah hampir meninggalkan kita. Kedatangannya mengingatkan pada peristiwa Israk Mikraj yang bersejarah. Israk Mikraj bukan sekadar peristiwa biasa tetapi ianya mempunyai hikmah dan mesej yang cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya. Peristiwa tersebut seharusnya membuka pemikiran dan cita-cita manusia sejagat sekaligus menunjukkan kekuasaan Allah SWT ke atas sekalian makhluknya dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.


Janganlah kita pertikai dan persoalkan bila waktu sebenarnya peristiwa israk mikraj ini terjadi dan juga adakah perjalanan ini roh bersama jasad atau cuma roh semata-mata. Apa yang penting adalah bagaimana kita melihat iktibar yang tersirat disebaliknya dan mengambilnya sebagai panduan untuk mengukuhkan iman dan menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.


Rentetan peristiwa tersebut, begitu banyak rahsia tersembunyi yang perlu kita kupas bersama. Setelah kewafatan Saidatina Khadijah RA yang selama ini menjadi pendamping setia, bersama menggenggam tauhid yang kukuh, serta menjadi pendorong utama dalam perjuangan Baginda SAW. Disusuli pula kewafatan Abu Talib yang juga selama ini menjadi pelindung Baginda SAW dari ancaman fizikal oleh kafir Quraisy, cukup memberi kesan besar terhadap Baginda SAW pada tahun kesedihannya. Pada ketika itu juga dakwah Islam berada dalam keadaan tenat dan merudum, dari segi psikologi Nabi SAW begitu terjejas, bahkan tiada kemasukan baru ke dalam agama Islam dikalangan penduduk Mekah.

Sebagai manusia, baginda merasa sedih dan pedih dengan kewafatan dua insan penting yang banyak berjasa dalam menyebarkan dakwah Islam. Namun Allah SWT tidak membiarkan kekasihnya terus berada dalam kedukaan, Israk Mikraj merupakan pendekatan menghiburkan setelah RasulNya kehilangan dua tunggak kekuatan.

Bila berbicara tentang peristiwa Israk Mikraj ini, kita akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril yang boleh dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Israk yakni perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah di dalam Al Quran, yang bermaksud;

”Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS Al-Israk;1)

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW yang hanya berlangsung pada satu malam ini seringkali diulang cerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk Mikraj diadakan, namun roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih gagal meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam. Semasa ceramah, kita mendengar dengan penuh minat dan mungkin akan sesekali ketawa jika penceramah berjenaka. Selesai ceramah kita akan sama-sama menjamah jamuan yang disediakan dan kemudian pulang ke rumah tanpa membawa apa-apa.

Hidup diteruskan seperi biasa dan iktibar di sebalik Israk Mikraj masih gagal difahami. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya Israk Mikraj.

Ibadat Istimewa Hamba

Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu atau perantaraan Jibril AS, sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah, berbeza dengan ibadah khusus yang lain. Begitulah istimewanya ibadah solat yang merupakan mikraj dan medan komunikasi hamba dengan rabbnya.


Menguji Aqidah

Israk Mikraj juga mengandungi falsafah besar menguji diri seseorang dalam memantapkan dan mengukuhkan aqidah atau sebaliknya. Di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah mengenal Allah iaitu perkara berkaitan aqidah sebelum kita berbicara tentang ibadah dan sebagainya. Jika persoalan aqidah masih bermasalah, bagaimana mungkin kita ingin bicarakan tentang ibadah kepada Allah yang belum kita imani sesungguh hati.

Begitulah pentingnya persoalan aqidah yang wajib didahulukan sebelum perkara-perkara lain sebagaimana fasa dakwah Rasulullah yang dimulai dengan penyebaran tauhid di Mekah yang menekankah aspek pemurnian aqidah umat Islam, diikuti penekanan syariat di Madinah yang berkaitan kaedah-kaedah untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah melalui persoalan ibadat, akhlak dan sebagainya. Bagaimana kita mahu mencintai Allah jika kita belum mengenalNya.

Berbalik kepada peristiwa Israk Mikraj, jika kita singkap dan amati, ada dikalangan pengikut-pengikut Rasulullah saw yang tergoncang aqidah mereka kerana tidak percayakan cerita Rasulullah saw yang telah diisrak mikrajkan ke destinasi yang mengikut hitungan akal manusia yang waras adalah mustahil untuk berlaku dalam masa satu malam.
Apabila mengetahui kisah ini, maka Abu Jahal begitu gembira kerana ini adalah peluang terbaik untuk menghentam Rasulullah saw dan menjauhkan masyarakat daripada dakwah baginda.

Meragui Perkara Ghaib

Apabila warga Mekah diceritakan kisah ini oleh Rasulullah saw, maka ramailah yang tersentak dan mula meragui, bagaimana mungkin mereka dapat mempercayakan cerita Rasulullah SAW itu. Setahu mereka, perjalanan dari Makkah ke Masjidil Aqsa sahaja mengambil masa yang begitu lama, masakan ianya boleh berlaku dalam satu malam.

Tambahan pula bukan hanya ke Masjidil Aqsa tetapi juga naik ke Sidratul Muntaha. "Owh tidak mungkin, mustahil ini boleh terjadi, Muhammad dusta!" Itulah kata-kata yang dihamburkan kepada Rasulullah SAW. Abu Jahal begitu gembira melihat ramai mula meragui dan mempertikaikan kebenaran Rasulullah SAW itu.

Namun, di sebalik suasana gawat itu, tampil seorang lelaki yang berkata: “Wahai Muhammad Rasulullah. Sekiranya engkau katakan engkau telah pergi lebih jauh daripada destinasi-destinasi itu sekalipun aku akan tetap mempercayakanmu!” Orang itu, tidak lain tidak bukan adalah Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa membenarkan Rasulullah SAW walau dalam apa jua keadaan. Subhanallah, begitu kentalnya iman dan kukuhnya aqidah yang dimiliki oleh sahabat agung yang mendampingi Rasulullah SAW ini.
Bagi menduga kebenaran kata-kata Rasulullah saw, maka Abu Jahal bertanyakan mengenai ciri-ciri fizikal Masjidil Aqsa dengan harapan Rasulullah akan memberikan jawapan yang salah. Namun, dengan izin Allah, Rasulullah SAW berjaya menjawab dengan tepat dan ini benar-benar menghairankan Abu Jahal. Tidak puas hati dengan kebenaran jawapan itu, Abu Jahal bukannya ingin mengakui kebenaran jawapan Rasulullah saw, sebaliknya menuduh Rasulullah saw sebagai ahli sihir! Begitulah kuatnya tentangan kaum musyrikin Makkah terhadap Rasulullah SAW. Mana mungkin Rasulullah SAW menipu sedang baginda diakui seorang yang beramanah sehingga digelar Al-Amin. Walaupun hati mereka menyedari kebenaran dakwah Rasulullah SAW, musyrikin Makkah masih enggan menerimanya kerana mereka sedar jika mereka mengakui kebenaran Rasulullah SAW, maka perniagaan dan kepentingan mereka yang berasaskan perkara haram akan terjejas.

Maka, mahu tidak mahu dakwah Rasulullah SAW harus ditentang meskipun hati kecil mereka mengakui kebenaran dakwah Rasulullah SAW tersebut.
Perumpamaan yang sama juga wujud pada masa ini, dimana ada pihak yang mengakui kebenaran Islam yang sifatnya syumul dan lengkap, namun amat berat dan sukar untuk menerima dan mengamalkannya kerana dibimbangi kepentingan-kepentingan tertentu samada dalam perniagaan atau pentadbiran akan terjejas kerana terdapat perkara-perkara yang haram.

Oleh yang demikian, sebarang usaha yang boleh membawa kesedaran kepada masyarakat tentang Islam yang sebenar yakni yang sudah pasti akan terdedahnya penyalahgunaan dan penyelewengan perlu dibendung dan ditentang habis-habisan. Adalah menjadi kehendak mereka supaya masyarakat dibiarkan jahil dalam agama agar kesilapan dan kemungkaran yang mereka lakukan tidak disedari oleh masyarakat

Sehubungan itu, apabila ada pihak yang cuba kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sepertimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, seperti perlaksanaan hukum hudud, pembenterasan rasuah, persoalan riba, zina dan penutupan aurat, maka ada yang mengatakan ini Islam yang melampau. Pada anggapan mereka, Islam itu adalah mudah dan harus disesuaikan mengikut kehendak semasa. Tidakkah semua persoalan hukum-hakam ini datangnya dari sumber Al Quran, melalui nas-nas yang muktabar dan untuk seluruh umat sehingga akhir zaman?. Betapa bencinya segolongan manusia terhadap Islam yang sebenar.

Sudahlah merasai dikekang dalam hal-hal persyariatan, dihasut pula orang lain agar sama-sama mempertikai serta memperlekehkan agama suci ini. Watak ini saling tidak tumpah seperti watak Abu Jahal dalam kisah Israk Mikraj ini yang menuduh Rasulullah saw sebagai ahli sihir meskipun hati kecil mereka menyedari dan mengakui kebenaran Rasulullah SAW.

Mengukur Logik Akal

Cuba kita bertanya pada diri sendiri andainya kita berada dalam majlis penerangan oleh Rasulullah SAW berkaitan peristiwa Israk Mikraj ini, adakah kita menyertai Abu Bakar RA yang membenarkan Rasulullah SAW atau kita berada di belakang Abu Jahal yang mendustakan Rasulullah SAW?
Saya sendiri bimbang, dengan situasi diri yang lemah ini, kadangkala amat sukar untuk menjadi sehebat Abu Bakar RA. Tetapi itulah cabaran yang perlu disahut. Dalam situasi sebegini, jika logik akal menjadi pertimbangan, maka sudah pasti kita akan mendustakan Rasulullah SAW.

Ambillah semangat Abu Bakar RA sebagai contoh dan teladan agar kita sentiasa berbaik sangka dengan syariat Islam serta tidak sekali-kali mempertikaikan apatah lagi memperlekehkannya.

Seterusnya, buangkanlah watak Abu Jahal dari kehidupan kita kerana watak itu tidak seharusnya dijadikan ikutan, malah akan membawa kita jauh daripada agama Islam yang sebenar.

Sesungguhnya dalam perkara agama, tidak semua perkara boleh diukur dengan logik akal semata-mata kerana akal manusia itu terbatas walau sehebat manapun ilmu kita. Keimanan kepada Allah dan RasulNya itu memerlukan pertimbangan melalui jiwa yang suci dan ikhlas.

Terlalu banyak jika mahu disingkap kesangsian dan keraguan umat Islam terhadap agama kita sendiri. Secara kesimpulannya, jika masih terdapat di dalam hati sanubari kita perasaan ragu terhadap Islam samada terhadap hukum-hakam dan syariatnya walau sebesar zarah sekalipun, maka ada suatu yang tidak kena dengan pegangan aqidah kita. Kadang-kadang tanpa disedari, kita memberi komen yang memperlekehkan hukum-hakam Allah, dan ini menjejaskan pegangan atau aqidah kita.

Pada bulan Rejab yang penuh berkah ini, marilah kita mengambil kesempatan untuk memperkasakan pegangan aqidah dengan meningkatkan ilmu dan mengamalkan setiap suruhan Allah SWT tanpa sebarang keraguan. Hanya dengan petunjuk dan nurNya yang dapat membolehkan kita membezakan antara haq dan batil, dan bukannya melalui ilmu atau akal yang amat terbatas. Mudah-mudahan amal ibadah yang kita lakukan adalah berdasarkan cinta dan sayang kita hasil aqidah dan iman yang mantap kepada Allah.

Semoga Israk Mikraj yang bakal kita sambut dapat memberi satu kesan yang positif ke arah menjadikan diri kita Mukmin dan Mukminah yang taatkan Allah dan RasulNya insyaAllah.

Sumber : http://bit.ly/IsrakMikrajSK


1 comment:

Abu Idris said...

arrayah.info - 28 Rejab – Hari Di Mana Umat Islam Kehilangan Perisainya (KHILAFAH)